Saturday 29 January 2011

Fernando Torres berpindah???

Hasrat yang disuarakan Fernando Torres untuk berhijrah ke kelab lain telah ditolak oleh Liverpool.

Kelmarin, Torres yang juga merupakan penyerang antarabangsa Sepanyol telah menyerahkan sepucuk surat kepada pihak pengurusan The Reds memohon pertimbangan agar melepaskannya untuk berhijrah ke kelab lain.

"Torres ada menghantar sepucuk surat kepada pihak pengurusan Liverpool malam tadi (kelmarin) untuk meminta dilepaskan.

"Namun, pihak pengurusan telah sebulat suara menolak permintaannya itu.

"Torres telah menandatangani kontrak untuk tempoh jangka masa panjang bersama Liverpool dan disebabkan itu pihak pengurusan kelab merasakan yang dia perlu menghormati perjanjian tersebut," jelas satu kenyataan dalam laman web rasmi Liverpool.

Torres, 26, dilaporkan masih mempunyai baki kontrak sehingga 2013 dan sekiranya ada mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya, mereka perlu membayar yuran perpindahan sebanyak £50 juta (RM242.227 juta).

KELANTAN juara Piala Sultan Ahmad Shah

KELANTAN terus mencipta sejarah, kali ini berjaya menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Jaringan penalti Norshahrul Idlan Talaha dan sepakan percuma Badhri Radzi sudah cukup untuk menggagalkan hasrat Selangor meraih kejuaraan sumbangsih itu buat kali ketiga berturut-turut.

Tuah jurulatih baru, Datuk M. Karathu membawa kejayaan kepada Kelantan manakala aksi pemain Selangor kendalian K. Devan tampak lesu dan serba tidak menjadi.

Perlawanan yang dimeriahkan dengan kehadiran 35,000 penonton itu, menyaksikan Kelantan mendahului seawal minit kelapan menerusi sepakan penalti Norshahrul setelah bek kanan Selangor, Razman Roslan menjatuhkan Nurul Azwan Roya.

Tertekan dengan jaringan awal itu, Selangor cuba bangkit dan mendapat peluang terbaik pada minit ke-31 menerusi tandukan Safee Sali tetapi sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Selangor memasukkan Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Safiq Rahim manakala Kelantan pula memasukkan Khairul Izuan Rosli menggantikan Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-58.

Permainan terhenti hampir 10 minit pada minit ke-62 setelah penyokong Kelantan bertindak membaling botol minuman dan mercun ke arah padang.

Begitupun ia tidak menghalang Kelantan untuk mendapatkan gol kedua pada minit ke-83 menerusi sepakan percuma Badhri dari sebelah kiri yang gagal diagak dengan baik penjaga gol Selangor, Iqbal Suhaimi.

Jaringan tersebut terus mematikan langkah Selangor meskipun terus menggandakan asakan untuk mencari gol.